Wednesday, August 4, 2010

'Kumpulan Kualiti- Pengalaman Terbaik di Starbucks'


­Pengalaman Terbaik

Pengalaman terbaik yang pernah saya lalui ialah pengunjungan ke kedai café yang dikenali sebagai 'Starbucks' yang terletak di Sungai Petani, Kedah. Masih segar di ingatan saya terhadap senyuman yang ceria serta salam yang diberikan oleh pekerja-pekerja semasa saya melangkah masuk ke Starbucks. Sambutan mesra tersebut memang tidak dapat saya lupakan dan telah meninggalkan imej yang baik kepada saya sehingga sekarang.

           Terlebih dahulu, semasa saya menghadapi kesusahan dalam memahami menu café tersebut, tanpa membuang masa, secara relanya mereka telah menerangkan menu tersebut secara ringkas dan memberikan cadangan yang menepati cita rasa saya. Layanan tersebut menunjukkan bahawa saya sebagai pelanggan akan sentiasa dihormati dan diberikan layanan yang teliti.

            Semasa menunggu mereka menyediakan minuman yang telah saya order, mereka mengambil kesempatan itu untuk bersembang dengan saya. Melalui perbualan tersebut, barulah saya menyedari bahawa penyediaan bagi setiap jenis minuman adalah tidak senang seperti yang saya jangkakan. Sebagai contoh, untuk menyediakan segelas kopi Caramel Macchiato yang sempurna, suhu air panas adalah penting dan sukatan bagi susu dan kopi juga perlu diberikan penekanan. Hal ini memang berpatutan dengan konsep 'zero-defect' yang dianjurkan oleh Philip Crosby.

            Untuk memastikan semua makanan dan minuman dapat dihasilkan dengan berkualiti, café tersebut hanya menggunakan bahan-bahan yang segar tanpa mengabaikan aspek kesihatan. Hal ini jelas ternyata kerana mereka akan memastikan bahawa setiap cawan dan pinggan dibasmikan kumannya sebelum digunakan agar pelanggan dapat menikmati makanan di café itu dengan selamat.

            Selain itu, kerjasama antara pengurus serta pekerja-pekerja café tersebut juga patut dipuji. Makanan dan minuman dapat disediakan dalam masa yang singkat tanpa menjejaskan kualitinya. Semangat berkooperasi seperti ini sememangnya memainkan peranan yang penting dalam pengurusan kualiti setiap organisasi.

            Kesimpulannya, perkhimatan di Starbucks memang perlu dijadikan sebagai teladan dalam mencapai tahap kualiti yang tinggi. Starbucks berpegang teguh kepada konsep 'Total Quality Management' yang dipelopori oleh W. Edwards Deming, Joseph J. Juran dan Philip Crosby. Setiap individu yang terlibat dalam pengurusan dan perkhimatan  Starbucks telah memainkan peranan masing-masing dengan bukan setakat baik, tetapi sempurna, bagi menjamin kepuasan yang tidak terhingga bagi setiap pelanggan yang mengunjungi kedai tersebut.

No comments: