Friday, August 6, 2010

Kumpulan 4_IZ - Pengalaman Terbaik di Sebuah Syarikat Penerbangan


Pengurusan kualiti terbaik merupakan aset penting dalam sesuatu organisasi dalam mencapai mutu kerja yang memberangsangkan.
Pengalaman terbaik saya adalah ketika berada di sebuah lapangan terbang, iaitu Syarikat X, di mana saya telah melihat bagaimana sistem layanan di syarikat ini. Ia amat mengagumkan di mana keselamatan pelanggan dititikberat, dan juga cara berkomunikasi antara kakitangan syarikat dengan para pelanggan. Kakitangan di syarikat ini juga amat prihatin dengan keselamatan para pelanggan.
Saya merupakan salah seorang daripada penumpang yang menaiki pesawat yang dikendalikan oleh Syarikat X. Saya menanti panggilan untuk menaiki pesawat sebelum berlepas. Sedang asyik membaca majalah, perhatian saya terganggu oleh seorang warga emas lelaki di sebelah saya yang kelihatan terpinga-pinga. Sejurus kemudian, seorang kakitangan wanita Syarikat X menghampiri warga emas tersebut. Dengan gaya seorang kakitangan profesional, beliau bertanya kepada warga emas itu tentang masalah yang dihadapi. Saya kagum dengan cara berhemah dan kesopanan daripada kakitangan Syarikat X ini. Saya difahamkan bahawa ini merupakan kali pertama warga emas itu menaiki pesawat dan dia tidak arif mengenai hal-hal berkaitan penerbangan. Tanpa rasa terbeban, kakitangan Syarikat X tersebut menjawab pertanyaan yang diajukan oleh warga emas itu dengan penuh keyakinan, tetapi tidak mengenepikan nilai sopan santun dalam percakapan beliau. Intonasi yang lembut serta hasil kerja yang efisyen membuatkan saya lebih tertarik dengan pengurusan kualiti di Syarikat X ini.
Tidak lama setelah berakhirnya komunikasi antara warga emas dengan  kakitangan Syarikat X tadi, panggilan untuk menaiki pesawat diumumkan. Sekali lagi saya berbangga dengan sistem Syarikat X ini apabila pengurusannya begitu teratur dan keselamatan para penumpang dititikberat. Apa yang saya maksudkan adalah, penumpang-penumpang yang terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan para penumpang yang bersama bayi diberi keutamaan untuk menaiki pesawat terlebih dahulu.
Inilah pengalaman terbaik saya semasa berada di Syarikat X. Saya sangat berpuas hati dengan layanan yang diberikan serta perkhidmatan yang efisyen daripada syarikat ini.

No comments: