Saturday, August 7, 2010

kumpulan excellent~pengalaman terburuk (ADUAN KEROSAKAN DI KOLEJ KEDIAMAN X TIDAK DILAYAN)

Dalam kehidupan kita seharian, pelbagai perkara yang berlaku di persekitaran
kita sememangnya memberi kesan sama ada positif mahupun negatif. Kata orang
pengalaman merupakan guru terbaik dalam kehidupan seseorang dan banyak mengajar
kita untuk berdepan dengan pelbagai karenah manusia di sekeliling kita. Bagi
tugasan ini, saya ingin berkongsi pengalaman saya sebagai penghuni sebuah kolej
kediaman di UKM ini. Saya telah menetap di Kolej X sejak hari pertama saya
menjejak kaki di bumi UKM.

Setiap kolej kediaman mempunyai pasukan barisan hadapan yang
bertugas menjaga kebajikan para penghuni kolej kediaman secara amnya. Pengalaman
ini hanya sekadar perkongsian dan memenuhi tuntutan tugasan semata-mata. Sebagai
salah seorang penghuni di kolej X, sebarang masalah yang dihadapi para penghuni
akan segera dirujuk dan diadukan kepada pihak pengurusan kolej iaitu pejabat
kolej dengan harapan tindakan segera akan diambil.

Saya merupakan penghuni unit pangsarama di kolej X yang menempatkan
dua orang penghuni dalam sesebuah bilik. Keadaan bilik ini cukup menyelesakan
kerana di setiap bilik akan disediakan bilik air dan dapur serta ruang belajar
yang luas. Pada suatu hari, hujan turun dengan lebatnya sehingga menyebabkan
siling papan di kawasan ruang tamu terkopak pada keesokkan paginya. Keadaan ini
cukup membimbangkan saya dan rakan sebilik saya memandangkan kawasan ruang tamu
merupakan sudut utama bilik kami selain daripada bilik tidur. Walaupun begitu,
saya beranggapan bahawa siling tersebut tidak akan membahayakan kami sehinggalah
setiap kali hujan turun, kawasan ruang tamu bilik kami basah kerana kebocoran
yang berlaku akibat siling yang terbuka itu. Tidak cukup dengan masalah
kebocoran setiap kali hujan, siling tersebut pula semakin luas terbuka
lubangnya. Seperti yang anda dapat bayangkan, setiap kali hujan air hujan akan
mengalir masuk daripada celahan bukaan lubang pada siling tersebut dan
adakalanya lubang siling akan mengeluarkan bunyi 'krrkkk' seakan-akan hendak
tercabut terutama pada waktu hujan lebat.

Maka dua minggu selepas kejadian tersebut, saya telah membuat aduan
di pejabat kolej. Saya diminta mengisi borang kerosakan dan menyatakan jenis
kerosakan tersebut. Minggu demi minggu berlalu sehingga tamat satu semester
pengajian lubang pada siling ruang tamu masih tidak dibaiki. Semester seterusnya
saya masih mencuba untuk membuat aduan mengenai masalah kerosakan yang sama
namun saya sebaliknya dimarahi kerana dianggap tidak bersabar. Pekerja pejabat
kolej memberitahu kepada saya bahawa pihak yang bertanggungjawab untuk
membaikpulih sebarang kerosakan pada kolej kediaman terpaksa bergilir-gilir
menyelesaikan masalah kerosakan setiap kolej kediaman yang terdapat di UKM.
Mereka mengatakan apabila tiba giliran pembaikpulihan di kolej X, aduan saya
akan diproses. Selesai semester kedua saya tanpa sebarang tindakan yang diambil
oleh pihak pengurusan kolej X terhadap masalah saya. Kini, untuk semester baru
ini saya masih ditempatkan di bilik yang sama dan siling yang bermasalah masih
lagi tidak terusik daripada keadaan sebelumnya.

Saya cukup serik untuk membuat aduan lagi kerana layanan barisan
hadapan pihak pengurusan kolej X ini sangat mengecewakan malah ini bukan
pengalaman saya sebagai penghuni kolej X dimarahi oleh mereka namun rata-rata
rakan sekolej saya juga mengalami masalah ketika berurusan dengan barisan
hadapan kolej ini.

Mereka perlu sedar sebagai barisan hadapan ynag mewakili keseluruhan
kolej X, mereka mempunyai peranan penting menjaga kebajikan para penghuni dan
member bantuan selayaknya apabila diperlukan. Senyuman manis amat jarang sekali
diberikan kepada penghuni kolej ketika berurusan sebaliknya nada suara yang
dingin sahaja yang menyapa halwa pendengaran ketika menjawab sebarang
pertanyaan.

Kesimpulannya, imej pengurusan kolej kediaman X telah terjejas hanya
kerana layanan kurang mesra dan sikap garang barisan hadapan (kaunter kolej)
ketika melayani sebarang aduan dan pertanyaan para penghuninya. Perkhidmatan
yang ditawarkan sangat mendukacitakan sehinggakan terdapat penghuni yang tidak
berani mendekati kaunter pertanyaan kerana sikap dan layanan tersebut membuatkan
kami sebagai penghuni tetap kolej ini tawar hati untuk bersemuka dengan pihak
pekerja tersebut.

No comments: