Friday, August 6, 2010

Kumpulan 4_IZ - Pengalaman Terburuk di Sebuah Kafeteria

            Kerja sambil lewa tidak menjanjikan hasil bermutu tinggi. Pengurusan dan perkhidmatan yang tidak teratur pastinya tidak akan memuaskan hati para pelanggan.

Pengalaman terburuk yang saya telah hadapi adalah semasa berada di sebuah kafeteria yang terletak dalam kampus saya. Dengan sistem yang sangat lembap dan kakitangan yang tidak beretika cukup memberi alasan kepada saya untuk tidak lagi berkunjung ke kafeteria terbabit.

Lebih kurang pada pukul 8 malam, saya pergi ke kaferia tersebut untuk menikmati makan malam memandangkan kafeteria itu adalah yang paling dekat dengan kolej saya. Jarang-jarang berlaku di mana-mana kafeteria atau restoran lain, pelanggan diminta untuk mencatat sendiri pesanan makanan atas sekeping resit bernombor. Setelah itu, nombor pada resit itu akan dipanggil setelah pesanan siap dan pelanggan diminta mengambil makanan tersebut sendiri. Saya ada terfikir, dengan kakitangan yang begitu ramai, mengapa tidak mereka sendri yang menghidangkan makanan terus ke meja pelanggan.

Setelah satu jam menunggu, saya mula berasa tidak puas hati kerana makanan masih belum siap. Saya bangkit dan mendekati salah seorang pekerja kafeteria itu. Saya mempersoalkan kelewatan makanan yang belum siap sejak daripada satu jam tadi. Namun, amat menyedihkan apabila pertanyaan saya disambut dengan jawapan selamba sahaja. Bahkan tiada rasa tanggungjawab untuk menenangkan pelanggan atau mempercepat urusan penyediaan makanan tersebut. Saya kembali ke meja dengan perasaan hampa.

Sedang leka melihat gelagat para pengunjung di kafeteria itu, saya menyedari ada sesetengah pelanggan yang mendapat makanan mereka terlebih dahulu walaupun mereka datang lebih lewat satu jam daripada saya. Ini adalah perkhidmatan yang sangat tidak efisyen memandangkan kakitangan di kafeteria ini tidak mengutamakan pelanggan yang datang lebih awal. Sebaliknya, mereka memenuhi kehendak pelanggan secara tidak teratur dan tidak mengikut giliran yang sepatutnya. Pada malam itu, makanan saya siap pada pukul 10.00 malam, iaitu dua jam selepas meninggalkan pesanan.

            Perkhidmatan kafeteria ini sangat tidak efisyen serta tidak mementingkan mutu kerja dan pengurusan kualiti.

 


No comments: