Saturday, August 7, 2010

Kumpulan Smarties - Pengalaman Buruk Di Sebuah Gerai Makan

Pengalaman paling buruk yang pernah saya alami adalah di sebuah gerai makan di sekitar Melaka. Saya dan keluarga ketika itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur setelah menghadiri kenduri kahwin saudara di Johor. Kami singgah di Melaka untuk bersolat jamak Maghrib dan Isyak. Alang-alang sudah sampai di Melaka, kami teringin hendak makan Mee Rebus yang sememangnya terkenal di kawasan tersebut.
Kami mengambil keputusan untuk menjamu selera di gerai di tepi jalan. Gerai itu tidaklah terlalu ramai pelanggan seperti gerai di sebelahnya, tetapi kami memilih gerai itu kerana keadaan restoran tersebut nampak lebih bersih daripada gerai yang satu lagi.
Kami pun duduk di salah sebuah meja restoran itu dengan harapan ada pelayan yang datang kepada kami untuk mengambil order. Malangya, tiga orang pelayan lelaki (mungkin dalam lingkungan umur 18-23 tahun) tidak mengendahkan kami malah khusyuk berborak sambil menonton TV. Kebetulan waktu itu sedang demam bola (world cup), Jadi bayangkanlah bagaimana fokusnya pelayan-pelayan tersebut terhadap perlawanan tersebut. Setelah 3 minit berlalu - dan kami sekeluarga sangat pasti mereka tidak menyedari kehadiran kami,  saya terpaksa pergi mendapatkan tiga orang pelayan tersebut untuk meminta mereka mengambil order.
Pelayan tersebut menganggukkan kepala tanda akur dengan permintaan saya. Namun, apa yang menyedihkan, pelayan tersebut masih lagi sempat berborak-borak dengan rakannya sebelum menuju ke meja kami sekeluarga. Pelayan tersebut juga mengambil order kami sambil lewa, dan sesekali matanya menjeling ke arah skrin televisyen. Apa yang lebih jelik, pelayan itu beberapa kali menyatakan rasa tidak puas hatinya terhadap perlawanan tersebut kepada rakannya yang masih di hadapan TV. Sudah tentulah dia terpaksa meninggikan suara kerana lokasi meja kami dengan TV agak jauh.
Makanan yang kami order juga lambat disiapkan. Pelanggan tidaklah terlalu ramai, tetapi kualiti layanan yang mereka tunjukkan sangat menyedihkan.
Kesimpulannya, 'Don't judge a book by it's cover'. Gerai yang bersih tidak semestinya memberikan khidmat layanan yang baik. Tidak hairanlah mengapa gerai ini tidak ramai pelanggan seperti gerai di sebelahnya kerana idea Kaoru Ishikawa yang mendefiniskan kualiti sebagai "memenuhi keperluan pelanggan" tidak ditunjukkan oleh gerai makan tersebut.

No comments: